Saturday, 11 June 2011

KENANGAN DI SMSP 86-90

Kenangan selama 5 tahun di SMSP akan sentiasa menjadi memori paling indah dalam hidup. Suka, duka, pahit, manis, senyum, ketawa, sedih, gembira semuanya terpahat dalam lipatan memori zaman persekolahan. Sepanjang 5 tahun di SMSP banyak kenangan mencuit hati di antaranya yang masih dalam ingatan dan bila diingati kembali akan membuatkan saya tersenyum sendiri:

Kelas Geografi tingkatan 2 (Cikgu Redwan) – pernah didenda berdiri atas kerusi, atas meja dan bertinggung bawah meja sebab tidak dapat menjawab soalan Negara Australia yang terpaksa dihafal semuanya. Aduh Cikgu Redwan ni banyak sungguh ide dia untuk memahamkan pelajar tentang negara tersebut. Debaran setiap kali nak masuk kelas geografi usah ceritalah. Selalu terfikir apakah denda yang akan diterima kalau tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan.

Kelas Kimia tingkatan 5 (Cikgu S Ruhana) – suatu hari semasa tengah membuat ujikaji, Cikgu S Ruhana gelap mata dan terpaksa diusung ke bilik sakit. Pada masa tersebut Cikgu S Ruhana hamil dan terhidu asap asid ujikaji. Semua ujikaji terpaksa dihentikan. Saya difahamkan salah seorang anak Cikgu S Ruhana sekarang ini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Indonesia.

Kelas Biologi tingkatan 5 (Cikgu Rosli) – Ujikaji untuk mengetahui partikel darah. Saya menyumbangkan darah saya untuk di buat ujikaji. Konon-konon macam kuat, tetapi bila cucuk jari sendiri untuk keluarkan darah terasa macam nak pitam sebab terasa sakit. Hahaha padanlah muka saya.

Kelas Bahasa Malaysia tingkatan 4 (Cikgu Dr. Abdullah Sani) – Saya bersama 3 lagi rakan kalau tak silap Shafina, Fishah, dan Ani telah didenda berdiri di luar kelas setelah sampai lambat ke kelas selepas waktu rehat. Waktu rehat selalunya kami bantu Cikgu Isa Hudari di kedai Koperasi. Nasib malang sungguh pada hari tersebut di jemur di depan kelas dan di tontonkan kepada kelas tingkatan 5 di tingkat atas yang sedang berbaris untuk masuk ke kelas.

Itulah di antara kenangan manis sewaktu berada di SMSP. Banyak lagi kenangan manis yang masih tersimpan kemas diingatan saya. Akan saya coretkan lagi bila masa mengizinkan. Kata orang tak ada dulu tak adalah sekarang. Pengobanan guru-guru mendidik dan mencurahkan ilmu kepada kami tidak akan pernah dilupakan. Terasa ingin kembali ke zaman persekolahan, mengutip kembali kenangan-kenangan indah itu buat bekalan di kala sunyi. Buat rakan-rakan yang sama-sama melakarkan memori indah itu kalian semua tidak akan saya lupakan. Doakan saya dalam perjalan mencari ilmu yang masih belum berakhir. Buat guru-guru, rakan-rakan seangkatan, senior dan junior saya doakan selamat berjaya kepada semua walau dimana anda berada dan apa jua yang anda lakukan. Kenang saya dalam doa kalian.

Sekian coretan kenangan dari saya,









Normila Ahmad.

2 comments:

  1. cikgu lain2 sy tak berkesempatan kecuali cikgu Wan...sapa tak ingat kalau denda lupa bawa atlas...picit muscle sampai lebam..huhu.

    ReplyDelete
  2. ingatan Mila masih kuat ...aku ni rasanya memori dah tinggal 1G je

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...